KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin, yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah kelmarin, dijangka dihadapkan ke Mahkamah Shah Alam pada Isnin ini atas pertuduhan bersubahat menerima rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dalam satu kenyataan hari ini berkata, Azman akan didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009, membabitkan satu pertuduhan bersubahat menerima rasuah.
Selain Azman, seorang ahli perniagaan juga akan dituduh di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dengan dua pertuduhan — meminta dan menerima rasuah — berkait projek usaha sama penternakan lembu milik kerajaan negeri Kedah.
“Seorang Ahli Parlimen dan seorang ahli perniagaan yang disyaki berhubung dakwaan rasuah berkaitan projek ternakan lembu kerajaan negeri akan didakwa pada Isnin. SPRM telah memperoleh izin mendakwa kedua-dua suspek dan pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Shah Alam,” katanya.
Semalam, media melaporkan bahawa Azman ditahan bagi melengkapkan proses pendakwaan selepas SPRM mendapat kebenaran untuk menuduh kes berkenaan.
Menurut sumber, siasatan ke atas kes itu bermula sejak Februari lalu dan melibatkan dakwaan bahawa kira-kira RM400,000 diterima sebagai balasan untuk membantu meluluskan hak penggunaan tanah bagi projek fidlot.
“Kertas siasatan dibuka selepas satu aduan diterima pada 10 Februari, dan sehingga kini seramai 15 saksi telah dirakam percakapan,” menurut sumber itu.
