
Bekas Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur dan Pegawai Khas Teknikal Menteri, Kementerian Kerja Raya didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas lima tuduhan menerima wang RM70,000 daripada seorang individu yang mempunyai kepentingan dalam syarikat penyenggaraan bangunan.
Tertuduh, Dato’ Ir Norman Md Rabani, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan terhadap lima tuduh yang dikenakan ke atasnya.
Mengikut semua tuduhan berkenaan, Norman, 51, didakwa menerima wang tunai berjumlah RM70,000 dengan tiada balasan daripada seorang lelaki yang mempunyai kepentingan dengan empat syarikat penyenggaraan bangunan yang mana ia mempunyai kaitan dengan tugas rasmi tertuduh.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pusat beli-belah di sini, di antara 10 Ogos 2024 dan 23 Januari 2025, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Natrah Fareha Rahmat menawarkan jaminan berjumlah RM25,000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh.
Natrah Fareha juga memohon mahkamah mengenakan tiga syarat tambahan iaitu dia perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai, melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhampiran setiap awal bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam bela, Abdul Hakeem Aiman yang mewakili tertuduh memohon jaminan yang rendah dengan alasan anak guamnya menanggung empat orang anak berusia antara 16 dan 24 tahun yang masih belajar serta menanggung perbelanjaan ubat ibu bapanya.
Beliau berkata, Norman yang ditahan reman selama empat hari, memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan.
“Penjamin adalah isterinya dan sekiranya jumlah jaminan terlalu tinggi, ia akan memberi tekanan kewangan kepada tertuduh dan keluarganya,” katanya.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan tiga syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.
Sebelum ini SPRM menjalankan Op Kepala Mei lalu, melibatkan enam individu – antaranya seorang pengarah jabatan dan seorang jurutera – yang disyaki menerima suapan bagi projek penyenggaraan dan pembangunan awam sejak tahun 2021. Hasil rampasan termasuk RM6.13 juta (95 akaun), dua Toyota Hilux, dan RM165,000 tunai.
Profil Dato’ Ir Norman Md Rabani

Latar Belakang Kerjaya
Pengarah JKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (2021–2025)
Beliau dilantik sebagai Pengarah JKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mulai 21 Mei 2021, menggantikan jawatan sebelumnya sebagai Jurutera Awam Penguasa Kanan di Cawangan Jalan, Ibu Pejabat JKR Malaysia.
Pertukaran ke Ibu Pejabat JKR Malaysia (2025)
Mulai 26 Mei 2025, beliau ditukarkan ke Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat di Ibu Pejabat JKR Malaysia. Jawatan Pengarah JKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kemudiannya dipangku oleh Ir. Izrul bin Idris.
Tahun 2016 Dato’ Ir. Haji Norman bin Haji Md Rabani berkhidmat sebagai Pegawai Khas Teknikal di Pejabat Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof Menteri, Kementerian Kerja Raya, Malaysia.