KUALA LUMPUR: ITMAX System Bhd terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam ekosistem bandar pintar negara apabila sekali lagi dianugerahkan kontrak sistem kawalan trafik pintar bernilai RM42 juta oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Di bawah kontrak tersebut, ITMAX akan mengendalikan operasi dan penyelenggaraan sistem kawalan trafik pintar di seluruh Kuala Lumpur bagi tempoh tiga tahun, sekali gus mengekalkan peranan dominannya dalam pengurusan trafik ibu negara.
Untuk rekod, ITMAX bukan pemain baharu dalam projek berprofil tinggi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, syarikat itu telah menyapu pelbagai projek berkaitan CCTV pintar, sistem letak kereta pintar dan kawalan trafik di kebanyakan PBT utama di negara ini, termasuk di bandar-bandar besar dan kawasan perbandaran pesat.
Malah, pada 2023, ITMAX telah pun dilantik oleh DBKL untuk melaksanakan sistem kawalan trafik pintar merangkumi seluruh Kuala Lumpur, menjadikan kontrak terbaharu ini sebagai kesinambungan kepada kepercayaan berterusan pihak berkuasa tempatan terhadap teknologi syarikat tersebut.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ITMAX, William Tan Wei Lun, berkata pelantikan semula itu mencerminkan tahap keyakinan tinggi DBKL terhadap sistem proprietari ITMAX yang dibangunkan sepenuhnya oleh pasukan penyelidikan dan pembangunan dalaman syarikat.
Menurutnya, sistem kawalan trafik pintar ITMAX mengintegrasikan rangkaian CCTV dengan analitik berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi membolehkan pemantauan trafik masa nyata, kawalan lampu isyarat adaptif serta keputusan berasaskan data, yang secara langsung menyumbang kepada kelancaran aliran trafik dan peningkatan keselamatan jalan raya.
Selain impak operasi di peringkat bandar, teknologi ITMAX turut mencatat pengiktirafan antarabangsa, termasuk memenangi Anugerah Intelligent Transportation Systems (ITS) dan beberapa Anugerah Industri di Kongres Dunia ITS, sekali gus mengangkat imej teknologi tempatan Malaysia ke peringkat global.
Wei Lun menegaskan ITMAX akan terus bekerjasama rapat dengan DBKL dan PBT lain bagi menyokong transformasi bandar ke arah ekosistem mobiliti bandar yang lebih pintar, bersepadu dan cekap, sejajar dengan agenda pendigitalan dan bandar pintar negara.
17 Disember lalu ITMAX mengumumkan memperoleh kontrak bernilai RM36 juta daripada Jabatan Imigresen Malaysia Kementerian Dalam Negeri untuk melaksanakan sistem CCTV di pintu masuk dan keluar sempadan negara di seluruh Semenanjung Malaysia. Kontrak tersebut melibatkan perkhidmatan pemasangan dan sewaan sistem CCTV bagi tempoh 36 bulan, bermula 1 Julai 2026 hingga 30 Jun 2029,
Apakah ITMAX akan sapu semua Projek CCTV dan Trafik Pintar PBT di negara ini? setakat ini tiada siapa mempersoalkan monopoli syarikat ini kerana dianggap menang tender.
