
Di sebalik gelaran sebagai tokoh korporat berwibawa dalam industri kitar semula, Dato’ Seri Selvakumar Shanmugam Chetty, Pengarah Urusan Shan Poornam Metals Sdn. Bhd, kini menjadi perhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan pendedahan skandal penyeludupan besi buruk yang menyebabkan negara kerugian lebih RM950 juta hasil cukai eksport sejak enam tahun lalu.

Sindiket Besi Buruk Bertopeng ‘Ekonomi Sirkular’
Modus operandi sindiket ini melibatkan penyeludupan besi buruk yang diikrarkan sebagai jentera dan logam tidak bercukai, sekali gus mengelak cukai eksport sebanyak 15%. Sindiket turut didakwa merasuah pegawai penguat kuasa bagi melindungi operasi mereka di lima negeri: Selangor, Pulau Pinang, Johor, Negeri Sembilan dan Kedah.
Operasi bersepadu SPRM menerusi Op Metal, yang turut melibatkan Jabatan Kastam, LHDN dan Bank Negara, menyasarkan 19 lokasi 15 julai lalu, termasuk kediaman mewah Dato’ Seri Selvakumar di Batu Maung serta kilang utama di Bukit Minyak. Beberapa kenderaan mewah dan timbunan besi siap proses disita.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001 berkaitan pengubahan wang haram. Siasatan juga sedang menjejaki penjawat awam yang disyaki menjadi pelindung sindiket.
Siapa Dato’ Seri Selvakumar?
Dato’ Seri Selvakumar Shanmugam Chetty, penerima Darjah Seri Panglima Negeri (DGPN) dari Pulau Pinang, ialah pengasas dan CEO kepada Shan Poornam Metals dan kumpulan ENS Group. Beliau juga aktif dalam Persatuan Hindu Pulau Pinang (PHEB).

Syarikatnya dikatakan berlesen Jabatan Alam Sekitar (DOE) dan mendakwa mengamalkan teknologi ‘ECO Green’ dan pengurusan ‘closed-loop’ sisa industri. Shan Poornam dipuji secara rasmi melalui pelbagai anugerah ESG, ISO dan penghargaan kerajaan — tetapi kini reputasi itu mula tercalar.
Shan Poornam Metals adalah anak syarikat milik Shan Poornam Sdn. Bhd tetapi 40% pegangan dipegang sebagai syarikat sekutu Cenviro Sdn. Bhd anak syarikat milik Khazanah Nasional sejak 2015. Dengan itu, Shan Poornam Metals bukan sepenuhnya dimiliki oleh Shan Poornam, tetapi dimiliki bersama antara Shan Poornam dan Cenviro. Terdapat dakwaan bahawa pengambilalihan dan operasi selepas itu melibatkan sogokan atau bayaran komisen kepada pegawai kerajaan atau individu berkaitan dalam entiti berkaitan kerajaan. Ini menimbulkan persoalan serius tentang ketelusan dan akauntabiliti GLC dalam sektor pengurusan sisa.



Cenviro Sdn Bhd milik Khazanah juga wajar disiasat

Apa yang Terbongkar?
Pendedahan melalui satu emel sulit bertarikh 9 Julai kepada NGO dan agensi kerajaan mendedahkan bahawa:
1. Shan Poornam mengklasifikasikan semua bahan sebagai “e-waste” tanpa kepakaran sah. Dakwaan turut menyatakan bahawa 95% daripada proses “pemulihan sepenuhnya” yang dituntut oleh Shan Poornam adalah palsu.
2. Hanya proses pemulihan cetek dilakukan untuk mengekstrak logam berharga; sisanya dibuang tanpa rawatan sewajarnya. Sebaliknya, mereka hanya mengekstrak logam berharga sambil menghasilkan sisa berbahaya dan bahan toksik yang mengancam kesihatan awam. Mereka juga mengelak cukai ke atas skrap tembaga dan bahan lain — menjejaskan pelabur global dan mewujudkan persaingan pasaran yang tidak adil. Polisi kerajaan sebelum ini dilihat melindungi industri ini, membolehkan amalan menipu ini berterusan.
3. Pelanggaran hak harta intelek apabila komponen elektronik berpaten dijual semula secara haram.
4. Rasuah sistemik untuk mendapatkan kontrak dan lesen — terutama sejak pengambilalihan oleh Cenviro Group (Khazanah Nasional) pada 2015.
5. Kemudahan mereka di Sungai Kapar dilesenkan sebagai “Full Recovery” walaupun melanggar syarat lokasi zon industri berat.
6. Disyaki menerima pembiayaan dari China bagi kegiatan pengubahan wang haram, pemalsuan dokumen dan eksport haram e-waste.


Syarikat-syarikat Lain yang Terlibat
Antara syarikat yang turut dinamakan dalam pendedahan ini sebagai terlibat atau berkait dalam aktiviti haram sisa dan e-waste:

Pihak yang mendedahkan maklumat sebelum ini menggesa pihak berkuasa untuk :
1- Melaksanakan pemeriksaan mengejut ke atas premis Cenviro dan Shan Poornam.
2- Audit penuh transaksi kewangan dan pengambilalihan oleh Cenviro.
3- Tindakan terhadap lesen dan kelayakan pegawai penguat kuasa yang terlibat.
3- Mendorong kerjasama antarabangsa, termasuk PBB, untuk memastikan pematuhan kepada piawaian perubahan iklim dan alam sekitar. Dan akhirnya premis Cenviro dan Shan Poornam dan beberapa premis lain telah diserbu SPRM
Antara Realiti ESG dan Topeng Korporat
Sementara Laporan Kelestarian 2023 Shan Poornam mencatat hasil RM532 juta dan keuntungan sebelum cukai RM46.7 juta, pendedahan ini memberi bayangan bahawa kekayaan tersebut mungkin dibina atas asas yang menyalahi undang-undang dan etika.
Dato’ Seri Selvakumar, yang sebelum ini dipuji atas sumbangan kepada pendidikan kaum India dan pencapaian ESG, kini berdepan imej sebagai penguasa besi buruk yang menipu sistem dan mencemar negara.


Sekiranya tidak ditangani, kes ini berpotensi menjadi skandal alam sekitar dan rasuah GLC terbesar menyerupai skandal lama seperti kes Citiraya di Singapura, yang menggunakan taktik yang sama untuk mengelirukan pihak berkepentingan. Kes ini akan menjadi lebih kompleks kerana melibatkan jaringan antarabangsa dan perlindungan dalaman dari pihak berkuasa sendiri.